Apa Dia Akal?

Assalamualaikum all netters yang disayangi.......

Izinkan saya membicarakan bab "Apa Dia Akal?".......

Mudah-mudahan saya dan anda dapat menggunakan "akal" ini dengan sebaik-baiknya!

                      - Apa Dia Akal? - 

Dalam bahasa umum akal itu dipanggil otak, disamakan dengan otak. Sebenarnya akal itu bukan otak. Kalau akal itu otak bererti semua makhluk berkaki di dunia ini mempunyai akal. Kalau begitu semua makhluk mesti cerdik dan pintar. Tetapi nampaknya bukan semua makhluk di dunia ini cerdik dan pintar. Kepintaran dan kecerdikan ternyata hanya milik manusia. Meskipun mereka (makhluk lain) ada otak, tetapi tetap juga tidak berakal dan boleh ditipu-tipu. Mereka tidak boleh mengatasi kecerdikan manusia.

Itu menunjukkan akal itu bukan otak dan otak itu bukan akal. Akal hanya ada kepada manusia sahaja, tetapi tidak ada kepada makhluk-makhluk lain.

Otak itu hanya sebahagian daripada organ dalam tubuh sesuatu makhluk. Ia terletak di bahagian atas dalam kepala. Fungsinya ialah untuk menerima (mengkaji/bertindak) ke atas sesuatu rangsangan daripada pancaindera, hati, mata, hidung, telinga dan lain-lain.

Kegunaan dan fungsi otak terbatas kepada apa yang dapat dilihat dan dirasai oleh pancaindera-pancaindera itu (manusia) sahaja. Dalam erti kata lain, otak hanya boleh menterjemahkan apa yang sudah wujud dan nyata sahaja. Tetapi tidak boleh memikirkan (ma'rifat) tentang sesuatu kejadian disebalik (maujud) itu.

Lain dengan akal. Kegunaan dan fungsi akal lebih luas dari itu. Akal bukan cuma boleh menerima dan memikir terhadap apa yang maujud, tetapi juga boleh menyelami apa yang belum wujud. Akal boleh menjangkau ke alam-alam ghaib kerana ia mempunyai hubungan (sentuhan) langsung dengan Allah. Keadaan ini tidak berlaku kepada otak. Satu persoalan lagi kalau otak itu akal, akal itu otak, ini bermakna semua makhluk di dunia ini mempunyai tahap kedudukan, kecerdikan dan kepintaran yang sama. Ini bermakna semua isi alam ini berada dalam darjat yang sama! Tetapi hakikatnya tidak begitu, yang diakui sebagai sebaik-baik kejadian hanya manusia.

FirmanNya.......

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk (kejadian) yang sebaik-baiknya."

                                                          Al Tin 4

Akal tetap akal. Dalam Al-Quran ditafsirkan akal itu sesuatu yang sangat berguna kepada manusia.

FirmanNya.......

"Katakanlah, bukankah tidak sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui. Yang tidak lalai, melainkan orang-orang yang mempunyai (akal) fikiran."

                                                        Az Zumar 9

Dan secara tidak langsung akal inilah yang membezakan di antara manusia dengan makhluk lain. Gunanya untuk menilai dan merenung setiap kejadian Allah, untuk dijadikan i'tibar dalam kehidupan. Allah menyebut makhluk ini dijadikan untuk manusia yang mempunyai akal.

Sementara dalam firmanNya yang lain Allah menegaskan......

"Agama hanya bagi (berlaku) orang yang berakal."

Penegasan itu jelas menunjukkan darjat akal itu begitu tinggi sekali. Kedudukannya sungguh mulia, kerana ia menjadi sempadan dan batu tanda (farak) kemuliaan dan perbezaan manusia dengan makhluk.

Kalau akal itu bukan otak, jadi apakah yang dikatakan akal itu? Kalau kita kembali kepada hakikat manusia seperti mana yang diterangkan Allah, bahawa manusia itu memiliki rohNya yang bersifat atau samakan dari Nur Muhammad, maka jelas kepada kita apakah akal itu. Akal itu ialah Nur Muhammad sendiri. Nur Muhammad adalah merupakan satu zat Allah yang menjadikan manusia mulia.

Di sini boleh disimpulkan, akal itu ialah Nur Muhammad yang merupakan manifestasi (tajalli) dari Zat Allah di mana Nur Muhammad inilah juga akhirnya digunakan untuk mengenali dirinya sendiri. Justeru itu hanya manusia sahaja dituntut agar mengenali dirinya dan ma'rifat dengan Tuhannya kerana ia mempunyai roh Allah ataupun Nur Muhammad.

Firman Allah Ta'ala.......

"Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadian dan telah meniupkan ke dalam rohnya (ciptaan) Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan sujud."

Dan FirmanNya lagi.......

"Kemudian dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan) Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur."

Allah tidak tiupkan rohNya ke dalam tubuh Malaikat atai haiwan seperti mana Dia lakukan ke atas manusia, walaupun Malaikat merupakan makhluk yang tinggi darjatnya di sisi Allah. Allah menjadikan Malaikat daripada cahaya (Nur) dan tidak ditiupkan rohNya ke dalam tubuh Malaikat.

Justeru kerana kemuliaan atau kerana memiliki rahsia itulah maka Allah hanya mengezetkan manusia sahaja diminta menjadi khalifah dan memimpin dunia ini dan juga diperintah mengerjakan amal ibadat.

Firman Allah Ta'ala.......

"Dan dirikan solat, tunaikan zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk."

                                                      Al Baqarah 43

Khalifah yang dimaksudkan Allah bukan sahaja setakat menjadi pemimpin kepada dunia atau memimpin sesama manusia sebaliknya memimpin dirinya sendiri untuk mengenali Allah. Dan sesungguhnya bagi makhluk yang berakal (yang mempunyai Nur Muhammad) sahaja akan dapat berjumpa (ma'rifat) dengan dirinya.

Berkaitan dengan hal ini tidak diragui lagi bahawa kemuliaan, kebesaran dan ketinggian manusia itu terbukti apabila manusia dengan berani sanggup memikul dan menjaga rahsia Allah.

Firman Allah Ta'ala.......

"Sesungguhnya Kamu kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka semuanya enggan memikulnya dan khuatir akan mengkhianati dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada) sanggup memikulnya."

                                                        Al Ahzab 72

Kesanggupan dan kerelaan manusia itu tidak lain dan tidak bukan kerana ia tahu siapa dirinya yang tidak perlu merasa takut ataupun gentar menerima rahsia dan amanah itu seperti mana yang dirasai oleh makhluk lain.

Rahsia atau amanah itu juga merupakan mahkota Allah S.W.T kepada manusia untuk membolehkan ia dinobat menjadi pemimpin dunia dan juga menyebabkan Iblis diperintahkan tunduk kepadanya.

Jadi di sini jelaslah kepada kita apakah akal itu? Hanya akal (Nur Muhammad) inilah yang membezakan kita dengan makhluk lain. Namun begitu bukan bermakna setiap manusia yang berakal itu tahu secara automatic hakikat dirinya dan kemuliaannya. Jika mereka tidak mempergunakan akal dengan sebaik-baiknya, mereka juga buta dalam soal ini. Kedudukan mereka sama juga dengan taraf orang yang tidak tahu kemuliaannya. Kedudukannya sama sahaja dengan makhluk yang tidak mempunyai akal ataupun dengan orang yang ada akal tetapi tidak menggunakan akal, ataupun sama sahaja dengan orang yang hilang akal!

Sementara sejauh mana akal itu akan berfungsi ataupun tidak, ia bergantung terus kepada diri pemiliknya. Kalau ia berusaha menggunakannya maka akalnya akan tajam, kalau ia menyimpan, akalnya akan lembab dan berkarat.

Tajam atau tumpulnya akal ini pula bergantung kepada diri seseorang itu. Akal sama seperti pisau, kalau tuannya rajin mengasah, maka dia akan tajam. Kalau ia hanya disimpan dalam sarung, maka pisau itu akan tumpul dan berkarat. Tidak mustahil lama kelamaan ia (patah) rosak!

Untuk mengasah akal ia memerlukan "batu" seperti untuk mengasahkan (menajamkan) parang atau pisah. Adapun batu untuk mengasah akal ialah isi seluruh alam ini.

Firman Allah Ta'ala......

"Aku jadikan isi alam ini untuk diperhatikan oleh manusia. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal."

                                                      Ali Imran 190

Kita hendaklah menghayati, memerhati, menyelidiki serta menggunakan seluruh isi alam ciptaan Tuhan ini dengan berpandukan kepada ilmu- ilmuNya untuk kita menajamkan akal kita.

Dengan cara demikianlah akal kita akan tajam, pantas dan dapat membongkar rahsia-rahsia keTuhanan dan kedirian, yang banyak membelenggu diri kita. Apabila kita sudah boleh menafaatkan akal demikian rupa, maka berfungsilah akal kita, bergunalah akal kita untuk membantu kita mengenali diri dan ma'rifat dengan Allah.

Sesungguhnya akal begitu penting dan besar sekali peranannya kepada kita dalam usaha untuk mengenal diri dan ma'rifat kepada Allah S.W.T. Jika akal dapat dikendalikan dengan baik, maka bergunalah ia kepada kita. Jika tidak, maka sia-sialah Allah menganugerahkan akal kepada kita. Bila kita tidak dapat menafaatkan akal yang berharga itu maka hidup kita tak ubahlah seperti makhluk lain yang memang tidak berakal!

Wallah hu ta'ala a'lam.......

Wassalam.

Abdul Jamil Lam Al-Qadiri  

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <jjamilam@hotmail.com>    

muka depan