Ilmu Zahir Dan Ilmu Batin

Assalamualaikum all netters yang disayangi.......

Izinkan saya membicarakan (penjelasan) berkenaan dengan perihal "Ilmu Zahir Dan Ilmu Batin" agar tiada kekeliruan kepada para netters di dalam memahami dan menghayatinya.

                 - Ilmu Zahir Dan Ilmu Batin - 

Syariat yang pada umumnya dan pada asalnya bererti jalan yang lurus (Sirat al-Musraqim) yang sentiasa kita pohon dan kita pinta pada setiap detik dan ketika kurang dari 17 kali pada sehari semalam ketika sembahyang. Melalui manusia tidak terkeluar dari lingkungan daerah Iradatu'llah. Maka setiap gerak dan perbuatan dalam perjalanan dan pengembaraan hidup manusia tadi akan terbentuk acuan Allah (Sibghatullah). Selanjutnya segala gerak dan perbuatan dalam hidupnya itu adalah pengabdian kepada Allah.

Syariat juga adalah merupakan batas hukum yang merangkumi segala aspek kehidupan insan, sama ada yang berupa suruhan atau perintah wajib dan sunat ataupun yang berupa larangan dan tegahan haram dan makruh. Segala aspek kehidupan manusia terangkum dalam gerak laku atau amal perbuatan (al'Amal). Amal perbuatan itu pula terbahagi kepada dua bahagian yang terbesar. Amal perbuatan yang bersifat lahir dan bersifat batin. Amal perbuatan lahir ialah amal perbuatan dari anggota badan yang lahir yang dapat dilihat dan disaksikan, sama ada yang berhubung dengan ibadat, seperti solat, puasa, zakat dan jihad Haji ataupun faraidh dan hukum nikah, ataupun juga yang berhubung dengan muamalat atau budi-bicara untuk mendapatkan keperluan hidup atau urusan ekonomi. Sama ada dalam soal makan dan minumnya atau dalam soal pakaian dan perhiasannya, ataupun dalam soal kediaman dan kesihatannya.

Amal perbuatan batin pula ialah amal perbuatan yang tersembunyi dan tidak dapat dilihat atau disaksikan, iaitu amal perbuatan yang bersifat kejiwaan dan kerohanian. Amalan batin ini juga dinamakan amal perbuatan hati ('Amal al-Qalb) atau gerak lintasan nafsu, sifat-sifat nafsu dan peringkatnya. Seperti niat, ikhlas, sidq, tasdiq, Iman, yakin, Ma'rifat, tawakkal, muhabbah, ridho, zkir, inabah, al-khawf, al-Raja', al-khassyyah, al-muraqabah, al-fikrah, al-i'tibar, al-sabr, al-qana'ah, al-taslim, al-tafwid, al-khasyyah, al-nadam, al-haya', al-ta'zim, al-ijlal, al-haybah dan lain-lain.

Dengan pengertian ini amal perbuatan manusia itu ada zahir dan batinnya, selaras dengan tabiat kejadian manusia itu sendiri yang tersusun dari dua unsurnya. Unsur jasmani atau unsur fiziknya yang lahir dan unsur rohaninya yang batin. Supaya amal perbuatan dalam kedua-dua bahagiannya itu selaras dan selari, tepat dan menepati Iradatu'llah, dengan jalan atau syariatNya maka pastilah diketahui tentang hukum dan hakikatnya, yang disuruh dan yang dilarang, yang diperintah dan yang ditegah, yang wajib dan yang haram, yang sunat dan yang makruh, yang utama dan yang lebih utama. Jelasnya untuk maksud ini maka perlulah ilmu dan pemahaman atau "fiqeh", juga fahaman yang lebih mendalam dan terkhusus "Tafaqquh".

Ilmu Syariat - Ilmu tentang amal perbuatan yang zahir dan batin ini adalah berasal dari satu jua, iaitu ilmu syara' atau syariat. Hukum-hukum ke atas amal perbuatan kita yang bersumber secara langsung dari Al-Quran tidak sempurna tanpa berpandukan kepada Hadis Rasulullah S.A.W. yang merupakan hanya Baginda seorang sahaja manusia yang diberikan "authority" secara mutlak oleh Allah seperti yang ditegaskan oleh Al-Quran, untuk menjadi penjelas dan penerang melalui kata-kata, perbuatan dan diamnya. Dengan lain perkataan bahawa ilmu dan pengetahuan kita tentang amal perbuatan yang zahir ataupun yang batin yang selaras dan menepati syara' melalui sumber Al-Quran tidak sempurna tanpa contoh dan tauladan yang praktik dari Rasulullah S.A.W. Di samping penerangan dan penjelasan melalui kata-kata dan diamnya. Dari sinilah dikatakan bahawa ilmu Islam atau yang dihubungkan dengan Islam pastilah bersumber dari syariat (al-Kitab dan al-Sunnah).

Ilmu Zahir dan Ilmu Batin - Penjelasan di atas membuktikan bahawa ilmu ada zahir dan batinnya, sebagaimana amal perbuatan manusia itu ada zahir dan batinnya, demikian juga unsur kejadiannya itu mempunyai zahir dan batinnya.

(Sifat Naluri manusia juga mempunyai zahir dan batinnya, makanan, pakaian dan kebersihannya mempunyai zahir dan batinnya, perjuangan atau jihadnya mempunyai zahir dan batinnya seterusnya musuh manusia juga mempunyai zahir dan batinnya.)

Begitu juga Al-Quran ada zahir dan batinnya. Hadis itu ada zahir dan batinnya. Syara' atau syariat itu ada zahir dan batinnya, seterusnya Islam itu juga mempunyai zahir dan batinnya.

Apabila ahli Sufi mengemukakan pendapat ini, janganlah hendaknya disalah fahamkan atau disalah mengertikan lalu dirangkumkan ke dalam golongan yang sesat. Sebenarnya "zahir dan batin" merupakan suatu perkataan yang tabi'i atau natural pada setiap yang wujud. Konsep lahir dan batin ini diakui oleh Al-Quran dan Hadis.

Firman Allah Ta'ala.......

"Dialah (Allah) yang awal dan Dialah yang akhir, dan Dialah yang zahir dan Dialah yang batin."

                                                       Al Hadid 3

Firman Allah Ta'ala.......

"Apakah tidak kamu lihat Allah telah menciptakan segala yang di langit dan segala yang di bumi untuk faedah kamu dan Dia (Allah) telah melimpahkan nikmat-nikmatNya yang zahir dan batin ke atas kamu, dan sesungguhnya manusia ada yang (sanggup) berjidal (berdebat) tentang Allah tan pa ilmu, tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang (mengandungi) cahaya (kebenaran).

                                                       Al Luqman 20

Firman Allah Ta'ala.......

"Dan buanglah dosa yang zahir dan batinnya. Mereka yang melakukan dosa akan diberi balasan dari apa yang mereka lakukan."

                                                       Al A'rah 151

Firman Allah Ta'ala.......

Dan jangan kamu dekati perkara keji (al-Fawashiha) sama ada yang zahir ataupun yang batinnya."

                                                       Al An'am 120

Firman Allah Ta'ala.......

"Katakanlah bahawa Tuhanku (Allah) hanya mengharamkan segala yang keji, zahir dan batinnya, dan dosa, dan kezaliman tanpa yang haq, dan menyengutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diberikan sultan (kuasa atau keterangan), dan menyatakan (tentang) Allah dengan perkara yang kamu tidak ketahui."

                                                       Al An'am 151

Pada zahirnya ayat-ayat ini menjelaskan bahawa dalam Islam ada zahir dan batin. Ayat-ayat ini memberikan fahaman yang jelas bahawa amal perbuatan, sama ada amal perbuatan yang baik dan salih ataupun perbuatan yang jahat dan keji, atau maksiat ada sudut zahir dan batin. Berdasarkan hakikat ini maka ilmu tentang amal perbuatan tadi mempunyai zahir dan batinnya. Pembahagian ilmu pada zahir dan batin tidak dapat dinafikan oleh setiap insan yang berpandangan dan berfikiran luas.

Ia hanya akan dinafikan oleh golongan yang hanya berkecimpung dalam ilmu zahir, kerana tidak mengetahuinya dari Al-Quran dan Hadis selain hukum-hukum yang zahir, yang boleh dijadikan bahan berhujah dengan pihak lain. Orang lebih cenderung kepada ilmu ini kerana lebih senang untuk mendapat kedudukan dan nama di kalangan orang awam, juga untuk mendapat kemewahan dunia.

Jika kita kembali kepada Hadis terdapat juga Hadis-hadis yang menguatkan konsep ilmu zahir dan batin.

Firman Allah Ta'ala.......

"Tidak ada khilaf dari kalangan ahli ilmu dari seluruh umat Muhammad bahawa Rasulullah telah diperintahkan supaya menyampaikan segala yang diturunkan."

                                                      Al Ma'idah 67

Tetapi ada pula Hadis yang mengatakan.......

"Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu sedikit ketawanya dan banyak menangisnya, nescaya kamu tidak berseronok-seronok dengan isteri-isteri kamu di tempat tidur; nescaya kamu melarikan diri ke padang melaungkan nama Allah."

(Hadis ini dari Abu Dzar r.a. yang diriwayatkan oleh Bukhari dengan ringkas juga oleh al-Hakim dengan tashihnya. Juga oleh al-Turmizi dengan sedikit perbezaan, juga oleh al-Syaykhan dari Hadis Anas. Pernah diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah r.a. sementara al-Hakim dan al-Tabrani dari Hadis Abu Darda' tashihkan oleh al-Hakim dan diakui oleh al-Dzahabi. Sila rujuk "Takhrij al-Hadis" oleh al-Iraqi dalam al-Luma')

Jikalau ilmu yang diketahui oleh Rasulullah S.A.W. itu termasuk dalam ilmu yang wajib disampaikan kepada umum nescaya telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W.

"Sesungguhnya setengah daripada ilmu itu ada yang seperti bentuk tersembunyi, yang tidak diketahui melainkan oleh mereka yang berilmu dengan Allah (al-'Alimun Billah Ta'ala)."

Suatu yang tidak dapat dinafikan oleh golongan ahli ilmu bahawa di antara kalangan para sahabat ada yang diberikan keistimewaan tersendiri yang tidak ada pada yang lainnya, seperti Huzaifah bin Yaman yang diberikan keistimewaan oleh Rasulullah S.A.W. iaitu ilmu tentang nama-nama orang munafiq, sehingga Saiyidina Umar Al-Khataab selalu bertanyakan beliau tentang dirinya kerana takutkan kalau-kalau dirinya termasuk dalam senarai golongan munafiqin.

"Kami dari golongan para Nabi-nabi telah diperintah supaya berbicara dengan manusia mengikut kadar akalnya."

Dari Saiyidina Ali KWJ telah diriwayatkan bahawa beliau telah menyatakan sambil menunjukkan ke dadanya.......

"Sesungguhnya di sinilah segala ilmu, kiranya dengan engkau bawakan kenderaan untuk membawanya."

Dari Ibnu Abbas telah diriwayatkan, ketika mentafsirkan ayat 12 surah Al Talaq.......

"Dialah (Allah) yang mencipta tujuh langit dan seperti itu juga (mencipta) bumi, perintah Allah berlaku padanya. Kiranya aku cuba menerangkan tafsirannya nescaya kamu akan merejam aku."

Diriwayatkan pula dari Abu Hurairah, katanya.......

"Aku telah menghafal dua jenis doa dari Rasulullah S.A.W. Jenis pertama aku sampaikan pada orang lain dan jenis kedua jika aku ajarkan pada orang lain nescaya aku akan menerima hukum pancung."

                                       Al-Ghazali, Ihya' Ulumiddin

Wallah hu ta'ala a'lam.......

Wassalam.

Abdul Jamil Lam Al-Qadiri

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <jjamilam@hotmail.com>    

muka depan