Make your own free website on Tripod.com

Subject: H-Net* KEANEHAN DAN KEAJAIBAN HATI- BAB 9
Sender: owner-tnb@hizbi.net

 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 { Sila lawat Laman Web Hizbi-Net :  http://www.hizbi.net }
 { HizbiNet -  Membina Ummah  Berilmu & Bermaklumat.  }
  *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 
 

Assalamualaikum wbt. kepada ahli netters semua semoga sihat sejahtera.
Tajuk pada kali ini adalah salah satu penyakit manusia apabila hati telah
dikuasai oleh SYAITAN.

BAHAYA PENYAKIT TAKBUR.

RASULULLAH SAW berjalan melalui sekelompok sahabat yang sedang berkumpul.
Baginda bertanya, "Mengapa kamu berkumpul di sini?" Sahabat menjawab, "Ya
Rasulullah, ini ada orang gila sedang mengamuk. Sebab itu kami berkumpul
disini."

Rasulullah bersabda:

 "Orang ini bukan gila. Ia sedang dapat musibah. Tahukah kamu,
siapakah orang gila yang sebenar (al-majnun haqqal majnun?)"

Para Sahabat menjawab, "Tidak ya Rasulullah."

Baginda menjelaskan, "Orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur,
yang memandang orang dengan pandangan yang merendahkan, yang membusungkan
dada, berharap akan syurga Tuhan sambil membuat maksiat, yang
kejahatannya membuat orang tidak aman dan kebaikkanya tidak pernah
diharapkan. Itulah orang gila yang sebenarnya. Adapun orang ini, dia
hanya sedang mendapat musibah saja."
 
 

AKAL YANG TIDAK BERFUNGSI.

Orang gila (majnun) berakar kata 'jannat', ertinya menutupi. Dia masih
mempunyai akal, tetapi akalnya sudah tidak berfungsi atau tertutupi oleh
kemahuannya yang tidak terkawal dan hawa nafsunya yang sungguh aneh.
Orang seperti  ini tidak dianggap 'gila' oleh Rasulullah, melainkan
sedang ditimpa penyakit (musibah). Justeru yang disebut 'majnun' oleh
Nabi adalah orang takbur, sombong, biadap, yang perbuatannya merugikan
merugikan orang lain, manakala kebaikannya tidak memberi manfaat sedikit pun.

Orang gila yang terkena gangguan saraf hanyalah orang yang menderita
'mubtala' (musibah), orang yang sedang sakit. Orang sakit perlu
dikasihani, dibantu dan diubati. Majnun yang sebenar dan sangat berbahaya
ialah 'takbur', iaitu penyakit warisan IBLIS.

Rasullullah SAW bersabda kepada Abu Dzar: "Wahai Abu Dzar, barangsiapa
mati dalam keadaan hatinya ada sebesar debu sahaja dari sifat takbur, ia
tidak akan cium bau syurga, kecuali bila ia bertaubat sebelum maut
menjemputnya".

Rasullullah bertanya kepada Abu Dzar: "Bagaimana perasaan hatimu?"

Abu Dzar: "Aku dapati hatiku mengenal kebenaran dan tenteram didalamnya".

Rasulullah SAW: "Yang demikian itu tidak termasuk takbur. Takbur itu
meninggalkan kebenaran dan kamu mengambil selain kebenaran. Kamu melihat
orang lain dengan pandangan bahawa kehormatannya tidak sama dengan
kehormatanmu, darahnya tidak sama dengan darahmu..."
 

KESALAHAN UTAMA.

Kesalahan yang utama dan paling buruk menimpa akar umbi kebaikan adalah
kesombongan. Ini adalah sifat syaitan yang mencorakkan kejahatan dan
pembangkangan kepada Allah. Tiada amalan soleh yang boleh dilakukan
dengan kesombongan.

Tercelanya takbur ini dijelaskan oleh Rasulullah bahawa tiada akan masuk
syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawa dari takbur
(sombong). Dan tiada akan masuk neraka orang yang ada didalam hatinya
seberat biji sawi dari iman.

Daripada Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda bahawa
orang-orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada
hari kiamat dalam bentuk semut kecil, yang diinjak mereka oleh manusia,
kerana hinanya mereka di sisi Allah Ta'ala.

Oleh itu Nabi sentiasa berdoa supaya dijauhkan daripada sifat takbur dan
sombong.

Malahan Rasulullah menyebutkan bahawa penyakit gila yang sebenar adalah
takbur. Sebab ia membinasakan semua amalan yang dilakukan oleh orang yang
menghidap  penyakit takbur ini.
 

Seterusnya kita dapat meneliti sendiri apakah sifat 'takbur' ada didalam
diri kita. Bila gejala tidak sihat ini memahat diri kita, ianya cukup
untuk mengheret kita kepada penyakit 'gila' yang sebenar, MAJNUN HAQQAL
MAJNUN.
 

INILAH HAKIKAT PENYAKIT HATI YANG AMAT BERBAHAYA!!!!!!!
 
 

Sekian wassalam
Rose
 
 

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : majordomo@hizbi.net   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : hizbi@hizbi.net   pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
 (pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net   )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Rose <srose@csam.com.my>